
Penulis: Zhou Benxing
Tahun lepas, insiden penangkapan pempengaruh media sosial Taiwan “Wan An Xiao Ji” dan “Ah Nao” oleh pihak polis di wilayah Sihanoukville, Kemboja telah mencetuskan kekecohan. Perkara ini menjadi tumpuan kerana mereka mencipta video palsu di Kemboja. Walaupun kedua-duanya merayu meminta maaf, namun disebabkan jenayah mereka yang serius dalam menimbulkan kekacauan sosial, mahkamah tempatan menjatuhkan hukuman penjara dua tahun dan setiap orang didenda 4 juta Riel Kemboja. Kejadian ini bukan sahaja mendedahkan tingkah laku tidak bertanggungjawab segelintir pempengaruh media sosial, malah turut mencetuskan perbincangan mengenai kesan media sosial terhadap imej negara dan kestabilan masyarakat.
Pertama, insiden ini mendedahkan kecenderungan negatif segelintir media sosial dalam mengejar jumlah pengikut. Untuk menarik perhatian, pempengaruh media sosial ini sanggup mencipta situasi palsu, malah melanggar undang-undang. Tingkah laku sebegini bukan sahaja merupakan penyimpangan serius dari segi keaslian dan integriti, tetapi juga satu bentuk penipuan yang mengelirukan orang ramai. Perkembangan media sosial seharusnya menekankan penciptaan isi kandungan yang bertanggungjawab, dan bukannya mengorbankan fakta dan moral demi populariti sementara atau melakukan jenayah.
Kedua, sikap tegas Gabenor Sihanoukville, Guo Zonglang, patut dipuji. Beliau menegaskan bahawa ini bukan sahaja masalah individu pempengaruh media sosial, tetapi merupakan masalah sosial yang serius. Dengan tidak memaafkan mereka, Guo Zonglang menekankan pentingnya menjaga imej negara dan kestabilan sosial. Ini adalah langkah yang amat penting untuk memelihara reputasi Kemboja dan kestabilan sosial, dan juga boleh dijadikan contoh oleh negara lain.
Di Malaysia, beberapa pempengaruh media sosial juga terlibat dalam isu integriti dan moral, namun adalah sukar untuk mendakwa mereka kerana mereka terjebat dengan kawasan yang kabur undang-undangnya. Diharapkan pihak berkuasa dapat meningkatkan penguatkuasaan undang-undang untuk membersihkan fenomena negatif di dunia maya. Beberapa tahun lalu, beberapa pempengaruh media sosial bukan saja memalsukan lokasi pelancongan, malah mereka terlibat dalam khabar angin yang aneh, seperti sebuah pangsapuri di Genting Highlands yang digelar sebagai “tempat berhantu”. Mereka dengan sengaja mencipta kejadian ghaib dan cerita karut untuk menarik perhatian lebih ramai penonton. Ini menyebabkan ketidakpuasan hati pemilik pangsapuri dan membantah. Ini memberi kesan langsung kepada harga hartanah, dan menyebabkan masalah yang sudah sedia dihadapai oleh pemilik pangsapuri bertambah teruk.
Insiden pempengaruh media sosial Taiwan yang dipenjarakan di Kemboja ini mengingatkan kita tentang kuasa dan tanggungjawab media sosial. Sebagai platform utama penyebaran maklumat, media sosial mempunyai pengaruh besar dalam membentuk imej negara dan pandangan masyarakat. Oleh itu, pempengaruh media sosial yang mengendalikan media sosial perlu lebih berhati-hati dalam memastikan ketepatan maklumat yang dikongsi, serta berusaha menyampaikan maklumat yang positif dan benar untuk memajukan perkembangan masyarakat yang sihat.
Sumber: Sin Chew Daily, 20 Februari 2024