Kononnya di dalam sebuah gunung terdapat mata air ajaib, yang mampu membuat orang muda. Sesiapa yang terminum air ini akan menjadi semakin muda, semua penyakit dapat disembuhkan dan orang tua akan betukar menjadi budak muda.
Di pusat bandar terdapat sepasang suami isteri. Suami itu sudah meningkat umurnya dan menghidap pelbagai penyakit. Apabila dia terdengar berita ini, dia pun cuba mencari mata air ajaib ini. Dia berkata kepada isterinya: “Saya sudah menghidap pelbagai penyakit dan tidak akan hidup lama. Biarlah saya pergi ke gunung untuk mencari mata air ajaib itu. Jika Tuhan memberkati saya dan memberi saya peluang untuk menemui mata air itu, maka kita mungkin boleh hidup bersama lagi untuk beberapa tahun.
Pada keesokan pagi, suami tua itu pun membawa bekal dan bertolak. Selepas beberapa hari, dia terjumpa mata air ajaib yang dikatakan. Dengan gembiranya, dia segara minum seteguk air dari mata air itu. Kemudian, dia pun duduk di bawah sebatang pokok besar dan berehat. Dia pun tertidur semalaman di bawah pokok itu disebabkan terlalu letih. Pada keesokan hari, dia bangun dan mendapati diri sendiri telah berubah. Rambut putihnya menjadi hitam dan kulitnya menjadi kilat dan anjal. Selain itu, penyakitnya juga tersembuh dan dia telah menjadi seorang pemuda yang bersemangat. Dia pun berlari balik ke rumah.
Apabila isterinya terlihat wajah muda itu, dia pun bertanya dengan hairan: “Siapakah kamu?” Suami itu pun ketawa kerana isterinya tidak mengenalinya. Dia pun memberitahu isterinya segala yang berlaku. Isteri itu berasa amat susah untuk mempercayai orang muda itu ialah suaminya. Tiba-tiba, di otaknya tertimbul niat untuk mencari mata air ajaib supaya dia boleh menjadi gadis muda.
Pada keesokan pagi, apabila hari masih gelap, si isteri pun keluar mencari mata air ajaib itu tanpa pengetahuan suaminya. Apabila suami itu bangun, dia mendapati isterinya telah hilang. Dia pun terfikir isterinya pasti pergi mencari mata air ajaib itu. Apabila dia tiba di situ, bayang isterinya pun tidak kelihatan. Namun, dia terdengar suara bayi menangis dari semak yang berdekatan. Dia berasa hairan mengapa terdapat bayi di dalam gunung. Adakah orang membuang bayi di dalam gunung itu? Dia berlari ke semak itu dan mendapati bayi yang menangis itu ialah isterinya.
Kata-kata Nasihat
Masyarakat kini mengutamakan penampilan fizikal. Kebanyakkan orang berasa tidak puas hati dengan kecantikan yang dimiliki, sama ada berasa diri sendiri terlalu gemuk, terlalu kurus, badan tidak langsing atau air muka tidak cukup cantik. Oleh itu, salon kecantikan dan pusat pengurusan berat badan muncul bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Ini adalah disebabkan kita dipengaruhi oleh media sosial dan masyarakat yang menentukan piawai fesyen terkini. Impian untuk memiliki penampilan fizikal yang menarik bukan satu dosa, malah ia akan menjadi dorongan untuk mencapai matlamat kita. Namun, jika kita mengejar kecantikan fizikal yang sementera ini tanpa mengambil kira faktor-faktor lain, maka keutamaan hidup akan diterbalikkan.
Sumber artikel:陈国强《为自己加油!》,文桥传播中心有限公司