Bagaimana Mengatasi Ketagihan Penggunaan Internet dalam Kalangan Anak-anak? 

Soalan: Anak lelaki yang masih berada di sekolah rendah menghabiskan semakin banyak masa melayari internet. Setiap hari dia menghabiskan masa dua hingga tiga jam melayari internet. Apabila saya cuba menghadkan masanya untuk melayari internet, dia pula menyatakan saya sudah ketinggalan zaman. Apakah yang perlu saya lakukan?

Internet merupakan ciptaan teknologi yang amat penting bagi manusia. Internet boleh membantu kita membuat banyak kerja, tetapi menghabiskan seluruh hari melayari internet tidak bersamaan mengikuti trend. Oleh itu, yang terutamanya ialah memahami tujuan anak melayari internet. Ibu bapa tidak perlu bimbang jika anak menggunakan internet untuk mencari maklumat. Ibu bapa boleh menolong anak-anak menilai ketepatan matlumat dan mengintegrasikan maklumat. Kita boleh menggunakan masa yang singkat untuk memperolehi banyak maklumat dari internet. Namun begitu, bukan semua maklumat yang diperolehi adalah benar. Oleh itu, anak-anak perlu belajar mengenali sumber maklumat dan menilai kebenaran maklumat berdasarkan apa yang dihuraikan.

Jika anak-anak menggunakan internet untuk tujuan sosial, contohnya, Facebook, maka ibu bapa perlu memahami ini adalah cara anak-anak zaman moden berkomunikasi. Kita boleh mengambil peluang ini untuk mengetahui topik perbualan mereka di laman web. Kita juga boleh mengenali hubungan interpersonal anak kita, memastikan hubungan sebenarnya dengan rakan-rakan. Adakah dia hanya dapat mengekalkan hubugnan dengan kawan melalui media sosial? Selain itu, jika anak melayari internet untuk permainan video, kita perlu memastikan sama ada ia mengandungi unsur lucah atau keganasan. Walaupun permainan video dapat melegakan badan dan hati, penyelidikan mendapati ketagihan permainan video akan mengurangkan daya perhatian. Oleh itu, masa untuk permainan video perlu dihadkan.

Adalah amat penting juga untuk memberi perhatian kepada masa anak-anak melayari internet. Melayari laman web selama dua hingga tiga jam sehari adalah terlalu lama untuk seorang pelajar sekolah rendah. Berinteraksi dengan ahli keluarga, membaca, bersukan, bermain dan pengalaman hidup yang kaya adalah amat penting untuk pertumbuhan fizikal dan rohani anak. Oleh itu, kita boleh menetapkan peraturan, iaitu anak mesti siapkan kerja sekolah sebelum melayari internet. Melalui perbincangan dengan anak tentang aktiviti mereka dan pengurusan masa, ini boleh membantu mereka memahami bahawa mereka sedang bertumbuh besar dan masa ini adalah amat penting untuk mereka.

Melarang anak-anak menggunakan komputer pada zaman moden bukan cara yang realistik. Tidak mahir dalam penggunaan komputer dan internet kemungkinan anak menjadi penghalang kepada pembelajaran anak pada masa hadapan. Anak juga akan menghadapi masalah dalam pergaulan jika kita menghalang mereka berbual dengan rakan sekolah tentang topik hangat. Apa yang penting ialah ibu bapa mesti mematuhi prinsip berikut, iaitu, memastikan anak melayari internet untuk tujuan yang betul, menghadkan masa penggunaan internet, pastikan anak telah siapkan kerja sekolah dan anak mempunyai masa untuk menjalankan aktiviti lain. Ini dapat memastikan anak-anak memperolehi pelbagai pengalaman dalam pertumbuhan mereka.

Sumber artikel:Majalah Focus on the Family Malaysia
Artikel ini adalah hak milik Focus on the Family Malaysia Sdn. Bhd
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:Focus on the family Malaysia

Tel:03-7954 7920  Fax:03-7954 7858
Emel:focus@family.org.my            Web:www.family.org.my
Facebook [focusonthefamilymalaysia] Twitter [familiesMY]

About the author