Hampir Separuh Pelajar Lepasan SPM Tidak Berhasrat Menlanjutkan Pelajaran: Tinjauan Menunjukkan 34% Ingin Menjadi Pempengaruh Media Sosial 

Pusat Penyelidikan UCSI baru-baru ini menjalankan tinjauan mengenai rancangan masa depan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Daripada 1000 responden berusia 18 hingga 20 tahun, hampir separuh (49%) tidak berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, dan daripada jumlah tersebut, 34% ingin menjadi pempengaruh media sosial.

Hasil tinjauan menunjukkan daripada pelajar yang telah menamatkan SPM, hanya 51% pelajar berhasrat untuk menyambung pelajaran, 39% bercadang untuk bekerja manakala 10% pula tidak mempunyai apa-apa rancangan masa depan.

Dalam kalangan responden, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan kursus diploma (47% masing-masing) merupakan laluan pendidikan yang paling dikenali ramai, diikuti oleh kursus asas (39%), matrikulasi (37%), dan A-level (32%).

Dalam kalangan 490 orang yang ditemu duga, kira-kira satu pertiga tidak berhasrat melanjutkan pelajaran dengan alasan utama adalah faktor ekonomi. Kira-kira satu perlima merasakan mendapatkan sijil pendidikan tinggi tidak lagi menguntungkan seperti dahulu. Daripada responden yang tidak berhasrat untuk melanjutkan pelajaran, 34% berharap untuk menjadi pempengaruh media sosial, 26% ingin bekerja sebagai pemandu e-hailing, dan 22% bercadang untuk memulakan perniagaan atau menceburi diri dalam industri makanan dan minuman.

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diwujudkan oleh kerajaan untuk memenuhi keperluan industri, kurang mendapat sambutan daripada golongan muda. Hampir 60% responden yang tidak berhasrat melanjutkan pelajaran tidak mempertimbangkan TVET.

Pensyarah Kewangan dan Perakaunan di Fakulti Perniagaan dan Pengurusan Universiti UCSI, Dr. Vasanthan Subramaniam, menyatakan bahawa walaupun tinjauan menunjukkan pelajar yang memilih untuk melanjutkan pelajaran masih merupakan majoriti, tetapi jumlahnya hanya 51%.

Beliau berpendapat bahawa kekurangan motivasi untuk belajar adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Ini termasuk: 1) ketidakpastian tentang manfaat ekonomi yang dibawa oleh pendidikan tinggi, 2) kebimbangan yang disebabkan oleh peperiksaan dan kaedah hafalan, 3) ketidakpastian tentang prospek kerjaya, 4) kos pendidikan yang tinggi, 5) halangan psikologi dan kepuasan hidup semasa, serta banyak faktor lain.

Sumber artikel:Harian See Hua,29/03/2023

About the author