Mengajar Anak-Anak tentang Seni Komunikasi 

Adakah anda berasa sukar apabila anak-anak hanya menjawab soalan anda dengan satu atau dua perkataan yang ringkas? Anda bertanya, “Bagaimana keadaan akhir-akhir ini?” Dia menjawab, “Baik.” Anda bertanya, “Bagaimana sekolah hari ini?” Dia menjawab, “Okey.” Dan perbualan pun tamat.

Saya pernah membaca sebuah majalah yang mencadangkan satu kaedah yang mudah tetapi sangat berkesan untuk mengajar anak-anak membina kemahiran komunikasi dan berbual. Saya telah mencuba kaedah ini untuk mengajar anak-anak saya, dan ia benar-benar berkesan.

Cuba ambil tiga bola tenis. Lemparkan satu demi satu kepada anak anda dan minta dia menangkap bola-bola tersebut. Setelah dia menangkap semuanya, minta dia melemparkannya kembali kepada anda satu demi satu. Ketika anda bermain seperti ini, dia mungkin akan bertanya dengan rasa ingin tahu, “Apa yang kita sedang lakukan?” Pada ketika itu, anda boleh menjelaskan kepadanya: “Ini seperti dua orang sedang berbual. Perbualan seharusnya berjalan secara timbal balik. Jika seseorang bertanya soalan, kamu perlu menjawab dengan baik-baik. Ia sama seperti apabila seseorang melemparkan bola kepada kamu dan kamu perlu melemparkannya kembali. Barulah perbualan menjadi bererti.”

“Jika kamu hanya menjawab dengan ringkas atau sambil lewa, ia sama seperti kamu memegang bola tanpa melemparkannya kembali. Maka, tiada perbualan yang bermakna. Jadi, jika seseorang bertanya, ‘Bagaimana sekolah hari ini?’ Kamu boleh menjawab dengan lebih terperinci, seperti memberitahu guru mana yang kamu suka, aktiviti apa yang kamu sertai di sekolah, dan sebagainya. Dengan cara ini, kamu telah ‘melemparkan bola’ kembali, dan ini akan mengeratkan hubungan dan meningkatkan pemahaman antara satu sama lain.”

Ibu bapa, jika kita boleh menggunakan demonstrasi tiga bola tenis ini dengan baik, anak yang paling pemalu sekalipun akan dapat belajar cara berbual dengan lebih baik.

Sumber artikel:Majalah Focus on the Family Malaysia

About the author