
Sebaik sahaja seorang lelaki merasakan hubungannya dengan seorang wanita telah menjadi sangat rapat, dia akan mengalami dua keinginan yang bertentangan—sama ada ingin lebih mendekati atau ingin lebih menjauhi wanita. Dia akan berulang-alik di antara kedua-dua perasaan ini. Dia ingin menjadi sebahagian daripada kehidupan wanita itu dan pada masa yang sama dia takut untuk kehilangan kebebasan serta identiti dirinya sebagai seorang individu. Ini adalah fasa biasa yang dilalui oleh lelaki dalam satu hubungan.
Tidak kira apa pilihannya, seorang lelaki perlu mengorbankan sebahagian daripada dirinya untuk menjadi lebih rapat dengan pasangannya. Apabila ruang peribadinya semakin berkurang, keinginannya untuk berdikari semakin meningkat. Tidak kira betapa sempurna kekasihnya, apabila mereka menjadi semakin rapat, lelaki itu akan merasakan keperluan untuk menjauhi buat seketika. Namun, selepas meluangkan masa untuk bersendirian, dia akan kembali kepada pasangannya dengan kasih sayang yang lebih mendalam. Seperti pepatah “jauh di mata, dekat di hati,” setiap kali apabila dia menjauhi, rasa rindu yang tertimbul akan meningkatkan cintanya. Apabila dia kembali, dia akan menjadi lebih mesra dan penyayang.
Keinginan Kuat untuk Bergerak Bebas dalam Percintaan
Bagi wanita, adalah sangat penting untuk memahami cara mengimbangi hubungan. Apabila lelaki menjauhkan diri, anda tidak boleh mengejarnya atau cuba menariknya kembali. Apabila dia kembali, anda perlu berhati-hati agar tidak menunjukkan rasa tidak puas hati yang telah terkumpul sepanjang ketiadaannya. Apa yang lelaki mahukan ialah keyakinan bahawa pasangannya tidak terganggu dengan kecenderungannya untuk datang dan pergi serta menerimanya dengan hati yang terbuka.
Ramai wanita salah memahmi bahawa hubungan yang baik adalah hubungan yang semakin rapat dan sentiasa bersama dengan pasangan mereka. Mereka akan berasa panik dan menyangka ada sesuatu yang tidak betul dalam hubungan itu apabila lelaki menjauhi diri. Semakin lelaki cuba menjauhi, semakin wanita itu ingin menggenggamnya erat dan berusaha sedaya upaya untuk memastikan dia tidak pergi.
Namun, wanita yang bijak tidak akan bertindak demikian. Sebaliknya, dia memberi lelaki itu ruang yang secukupnya dan memahami bahawa lambat laun dia akan kembali kepadanya. Malah, dia dengan hati yang rela menggalakkan kekasihnya untuk keluar bersama rakan-rakannya dan meluangkan lebih banyak masa dengan mereka. Dengan melepaskan dan memberikan sedikit jarak, wanita itu akan membuatkan lelaki itu sekali lagi merasakan keinginan untuk mengejarnya. Lelaki akan kembali berusaha untuk menawan hati wanita itu seperti kali pertama mereka bertemu.
Petikan daripada Lima Fasa Percintaan
[Link: https://mp.weixin.qq.com/s/WfuLLCJIMc51TtJR555INg]
Sumber: Men Are from Mars, Women Are from Venus oleh John Gray, diterjemahkan oleh Bai Lian, diterbitkan oleh China Industry and Commerce United Press.