Baru-baru ini, terdapat satu artikel di akhbar yang melaporkan tentang kepentingan ibu bapa membaca buku kepada anak-anak. Artikel itu menyebut tentang satu kajian tidak rasmi yang mendapati, di kalangan ramai kanak-kanak di tadika, hanya dua orang anak yang ibu bapanya membaca cerita kepada mereka setiap minggu.
Setiap guru boleh memberitahu anda bahawa kanak-kanak yang ibu bapanya membaca buku kepada mereka adalah murid-murid yang cemerlang di dalam kelas. Membaca buku bukan sahaja meningkatkan kemahiran membaca mereka malah membina keyakinan diri, serta membantu mereka berkomunikasi dengan guru dan rakan sekelas. Sebaliknya, kebolehan dan pencapaian pembelajaran kanak-kanak akan terjejas jika buku cerita digantikan oleh televisyen. Oleh itu, biarlah anak-anak duduk di pangkuan anda dan membaca buku kepadanya. Anda akan memperolehi keputusan yang tidak dijangkakan, iaitu, dua generasi akan mula berinteraksi dan berkomunikasi. Anak anda akan menunjuk kepada gambar dan bertanya soalan, atau memberikan pandangan dan pendapatnya. Selain itu, setiap cerita akan menjadi batu loncatan untuk anda memasuki dunia batin anak anda.
Membaca cerita kepada anak-anak sebelum satu hari berakhir adalah saat penting untuk mereka, dan juga satu peluang bagi anda untuk bersantai. Ia akan memupuk hubungan yang lebih erat antara ibu bapa dan anak. Ibu bapa yang dihormati, luangkan masa untuk membaca kepada anak-anak anda. Ia akan memberi kesan yang sangat besar dan bermanfaat dalam proses pembesaran mereka.
Sumber artikel:Majalah Focus on the Family Malaysia