Shalom dan selamat pagi saudara-saudari dalam Kristus. Saya ibu Hellie Senai,
saya berasal dari Julau. Saya dibaptis di Nanga. Nunyau, ulu Kanowit pada tahun 1986 bersama dengan penduduk rumah panjang yang lain. Pada tahun tersebut, hampir keseluruhan penduduk yang tinggal berdekatan dengan rumah panjang saya turut menerima baptisan.
Semasa saya mula menjadi Kristian, umur saya 14 tahun. Ketika itu, saya masih lagi menuntut di sekolah menengah. Pada waktu itu, saya begitu tekun dan rajin sekali melayani Tuhan. Saya menyertai kumpulan koir gereja. Setiap hari sabtu, pihak gereja akan berkunjung ke sekolah untuk mengadakan seminar dan berdialog bersama dengan pelajar yang beragama Kristian pada waktu itu. Saya tidak pernah ketinggalan untuk turut serta dalam apa saja aktiviti anjuran pihak gereja ketika itu.
Kemudian, selepas saya tamat persekolahan saya pun mula bekerja. Bermula dari situlah, saya mula lalai terhadap kewajiban saya sebagai anak Tuhan. Sedikit demi sedikit, saya mulai jauh daripada Tuhan. Kerap kali saya tidak datang untuk kebaktian. Banyak alasan yang saya selalu bagi setiap kali kakak sulung saya mengajak saya pergi beribadat pada hari Sabat. Tuhan itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Dia lebih mengetahui apa yang dihasratkan-Nya untuk umat-Nya. Tuhan juga senantiasa membuka jalan taubat bagi umat-Nya yang ingin kembali kepada-Nya.
Tanggal 17/4/2010, seluruh keluarga saya diselubungi kesedihan, apabila kakak saya yang bernama Doris telah kembali menemui Tuhan untuk selama-lamanya. Kehilangan mendiang kakak saya ini, amat terasa buat diri saya kerana mendiang paling rapat dengan saya. Semasa kami menguburkan jenazah mendiang kakak, saya terdengar seorang anak kecil bertanya kepada ibunya, “Ibu, ke manakah, mak cik ini akan pergi?” Pada saat itu juga saya merasakan seperti hati saya disentuh dan minda saya dibuka seluasnya. Ketika itu, juga saya menangis meratapi kematian kakak saya dan menyesali kealpaan saya kepada Tuhan Yesus.
Bermula dari saat itu, saya mula melakukan perubahan di dalam hidup saya. Saya mula berdoa kepada Tuhan agar memberi kekuatan kepada iman saya untuk mencari jalan pulang kepada Tuhan. Puji Tuhan kerana suami memberi dorongan kepada saya, untuk menyertai kebaktian BM Gereja Xin Fu Yuan pada tahun 2010. Saya mulai rajin untuk membaca Alkitab dengan mempraktikkan Firman Tuhan ke dalam kehidupan seharian saya. Dalam usaha saya untuk membina kembali kerohanian dan jambatan ibadah kepada-Nya, Dia mendatangi saya dengan satu ujian yang amat berat kepada saya.
Tanggal 14/1/2011, satu-satunya anak saya, telah disahkan oleh doktor menghidap ASD ( Austistic Spectrum Disorder ) atau lebih dikenali dengan “ Autisme”. Ketika itu, saya merasakan seperti bumi ini telah jatuh menghempap diri saya. Namun begitu, saya pasrah dengan kehendak Tuhan terhadap anak saya, kerana saya percaya tentu ada hikmah di sebalik segala kejadian yang didatangkan-Nya kepada kita. Tanpa rasa jemu dan putus asa saya berdoa dan memohon kepada Tuhan yang Maha Kuasa supaya Tuhan, sentiasa mengiringi dan menyertai anak saya setiap waktu di sepanjang hayatnya. Saya menyerahkan segalanya ke dalam Tuhan Yesus.
Tuhan itu adil. Dia mendengar seruan doa umat-Nya. Kemudian anak saya ditempatkan di sekolah khas pada bulan Jun 2011. Dengan berkat Tuhan, anak saya ditempatkan di sekolah yang baik dengan guru-guru yang tidak pernah jemu membantu anak saya di dalam pelajaran dan juga dalam kemahiran bertutur. Keajaiban kuasa Tuhan memang nyata dan jelas dalam kehidupan saya. Kini, anak saya bukan hanya cemerlang dalam pelajaran tetapi juga menampakkan perubahan dan peningkatan dalam pertuturan dan tingkah lakunya.Sungguh saya bersama suami amat bersyukur dan berterima kasih kepada Tuhan Yesus Kristus kerana Dia memberi cahaya yang terang di dalam kehidupan kami sekeluarga.
Tanggal 15.5.2012, kami sekeluarga sekali lagi digemparkan, apabila ayah saya kena serangan strok / angin ahmar. Ayah saya dikejarkan dari kampung ke hospital Sibu, yang mengambil masa selama 2jam 30minit didalam keadaan yang sangat kritikal. Menurut doktor yang merawat ketika itu berkata bahawa terdapat luka kecil pada saluran darah di bahagian kepala ayah saya yang menyebabkan berlaku sedikit pendarahan. Doktor menasihatkan agar kami bersedia untuk memberi kebenaran kepada pihak hospital sekiranya ayah saya perlukan pembedahan. Kami sekeluarga pada ketika itu meletakkan segalanya dalam doa, memohon pertolongan daripada Tuhan dan menyerahkan segalanya ke dalam tangan Tuhan Yesus Kristus. Puji Tuhan, kerana akhirnya ayah saya telah berjaya mengharungi saat getir dengan izin Tuhan yang maha Kuasa. Syukur kepada Tuhan kerana ayah saya telah selamat dan kembali pulih tanpa melakukan pembedahan ke atasnya. Kini ayah saya bertambah sihat walaupun keadaan fizikal ayah saya tidak dapat dipulihkan seperti sedia kala, namun bagi kami sekeluarga itu sudah lebih memadai untuk kami untuk mensyukuri segala apa yang telah Tuhan telah berikan kepada kami.
Tuhan itu pendengar yang setia. Dia sentiasa mendengar doa-doa mereka yang percaya sepenuh jiwa dan raga kepada Dia. Tuhan tidak pernah membiarkan kita bersendirian dalam mengharungi rintangan, Dia tidak pernah membebankan kita melebihi kemampuan kita sebagai umatNya. Kini, saya merasakan hidup lebih harmoni dan damai dalam kehidupan. Terima Kasih kepada Tuhan melalui Pastor Sency Ling memberi bimbingan dan galakan kepada saya untuk mendekati dan melayani Tuhan. Begitu juga saudara saudari dalam pelayanan BM yang lain. Semoga mereka sentiasa diberkati oleh Tuhan.
Saudara-saudari dalam Kristus, di sini saya bersaksi kepada anda semua, sekiranya kita hanya bersandar kepada Tuhan,nescaya hidup kita akan sentiasa diberkati oleh Tuhan yang MahaKuasa. Ingatlah sebagai seorang Kristian kita hendaklah percaya – taat dan setia kepada Tuhan yang satu. Jadikanlah Tuhan Yesus sebagai ‘JALAN’ untuk kita menuju ‘KEBENARAN’ supaya nanti kita beroleh ‘HIDUP’ yang kekal dan abadi. AMIN.