Pensyarah dan Pengemis 

Dua orang berdoa pada masa yang sama: “Tuhan yang mahakuasa! Biarlah saya menjadi muda sekali lagi.” Selepas mendengar doa mereka, Tuhan pun memanggil mereka untuk mengetahui sebab mereka mahu menjadi muda lagi.

Yang pertama berkata: “Saya ialah seorang pensyarah. Saya tidak berasa gembira walaupun saya mempunyai ilmu yang dalam dan dihormati ramai. Ini adalah kerana zaman muda saya semuanya dihabiskan dengan membaca. Saya tiada masa untuk berpacaran dan tiada tenaga untuk pergi ke kelab malam. Sekarang saya teringin untuk menjadi muda sekali lagi untuk menikmati hidup yang gembira!”

Orang yang kedua berkata: “Saya ialah seorang pengemis. Saya tidak pernah merasai kegembiraan seumur hidup ini. Saya dipandang hina di mana-mana jua. Masa muda saya dihabiskan dengan bersuka ria. Saya tidak memperolehi ilmu dan tidak pernah merasai kepuasan bekerja. Saya hanya tahu kelaparan dan kejahilan. Saya teringin untuk mempunyai ilmu pengetahuan. Oh Tuhan! Biarlah saya menjadi muda sekali lagi!”

“Saya akan menukar kamu berdua menjadi muda sekali lagi.” Tuhan melambai-lambaikan tangan dan bersetuju dengan permintaan mereka.

Mereka berdua balik semula ke usia 18 tahun. Pensyarah membiarkan bukunya di satu sudut dan bersuka ria setiap hari, manakala, pengemis pula giat membaca setiap hari dan akhirnya memasuki universiti idamannya.

Masa berlalu dengan cepat. Selepas 10 tahun, Tuhan memanggil mereka berdua untuk menanya perasaan menjadi muda sekali lagi. Pensyarah berasa sangat malu dan tidak dapat mengeluarkan sepatah kata kerana dia telah menjadi seorang pengemis sekarang.

Pengemis berkata: “Terima kasih Tuhan! Dengan usaha tekun belajar, saya menjadi seorang pensyarah yang dihormati ramai dan akhirnya dapat hidup dengan gembira.”

Persepsi:

Perubahan pada identiti dan status bergantung kepada perubahan sikap. Ketika pensyarah berasa sedih dia tidak dapat menikmati “kegembiraan”, pengemis pula mengagumi kehidupannya.

Sumber artikel:张婧《心灵盛宴:只需改变自己一点点》,朝华出版社

About the author