Hamil Sebelum Berkahwin 

Media pernah menyiarkan berita bayi dibuang di tepi jalan atau di tempat buang sampah. Ini termasuk berita pejalan kaki yang menjumpai tangan kiri seorang bayi lelaki telah digigit oleh anjing liar. Berita sebegini amat menyakitkan hati. Kabinet Malaysia telah memutuskan kes pembuangan bayi disiasat sebagai kes bunuh atau percubaan membunuh. Kes bunuh membawa hukuman mati. Manakala kes percubaan membunuh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pengguguran membawa masalah kesihatan kepada remaja perempuan. Bayi di dalam kandungan juga mempunyai nyawa dan pengguguran adalah dilarang dalam agama Kristian!

Di Malaysia, pengguguran adalah menyalahi undang-undang. Menurut Seksyen 312 Kanun Keseksaan, sesiapa yang menyebabkan wanita hamil (termasuk wanita hamil sendiri) menggugur hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh boleh sampai tiga tahun ataupun denda atau kedua-duanya sekali. Walau bagaimanapun, kehamilan itu boleh dihentikan jika ia membawa kemudaratan kepada kesihatan mental atau fizikal ibu, janin mempunyai kecacatan yang serius, status kesihatan wanita tersebut tidak sesuai untuk hamil atau kandungan itu hasil dari kes rogol.

Undang-undang yang Kamu Perlu Tahu

Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan menyatakan lelaki adalah dikatakan melakukan rogol, sama ada dengan kerelaan perempuan itu atau tidak, apabila perempuan itu di bawah umur 16 tahun (Statutory Rape).

Menurut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, sesiapa yang melakukan rogol, termasuk hubungan seks dengan perempuan di bawah umur 16 tahun, hendaklah diseksa dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan bolehlah juga dikenakan sebat sebanyak 10 kali.

Hubungan cinta meliputi tanggungjawab yang perlu dipikul. Cinta bukan untuk memenuhi rasa ingin tahu, bukan untuk bermegah-megah dan juga bukan untuk merasai proses cinta. Ia juga bukan untuk mencari keseronokan, kesegaran atau untuk melarikan diri dari keluarga yang tidak bahagia.

Apa yang boleh dilakukan jika kita benar-benar mempunyai buah hati? Pada pendapat saya, kita tidak perlu tergesa-gesa untuk mengisytiharkan cinta. Anda boleh bermula dengan hubungan persahabatan. Benih kasih ini boleh disemai di dalam hati dan menjadikannya sebagai semangat untuk berjuang dan merealisasikan impian sendiri!

Hakikatnya, tiada perempuan yang suka lelaki yang tidak bersemangat. Dengan samanya, tiada lelaki yang suka perempuan yang suka bermegah-megah dan tiada budi bahasa!

Sebagai seorang Kristian muda, kita perlu menunjukkan kesaksian yang baik dalam segala tindak laku kita supaya nama Tuhan dimuliakan!

Sumber artikel:《青春路》129期,马来西亚基督教写作团契

About the author