Mengalakkan Anak untuk Belajar 

Perkara yang paling sedih dalam proses pembelajaran adalah rasa ingin tahu semula jadi anak-anak hilang secara perlahan-lahan. Apabila perasaan ingin tahu dalam pembelajaran tidak lagi wujud, mereka akan terperangkap dalam kebosanan dan rasa tidak ingin belajar. Ramai ibu bapa bertanya kepada saya, “Bagaimana caranya supaya anak-anak terus mempunyai rasa ingin tahu dan minat untuk belajar? Bagaimanakah kita boleh mendorong mereka supaya mereka mahu belajar, meneliti, dan terus berkembang?”

Menurut cadangan pakar pendidikan: dorongan dan sokongan harus bermula dari perkara yang mereka sudah berminat. Sebagai contoh, jika anak anda tidak suka membaca tetapi gemar menonton pertandingan besbol, anda boleh menggunakan minat mereka terhadap besbol untuk memperkukuhkan kemahiran matematik mereka. Anda boleh bertanya, “Bagaimana untuk mengira purata pukulan dalam besbol?” atau tanyakan, “Apakah nisbah purata bola baik dan bola buruk yang dilemparkan oleh pemain tertentu?” Untuk menjawabnya, mereka perlu menggunakan prinsip matematik untuk mendapatkan jawapan.

Anak perempuan rakan saya sangat berminat dalam seni lukis. Oleh itu, dia mengupah seorang pelukis untuk mengajarnya melukis seminggu sekali. Ayah ini membiarkan anak perempuannya mengembangkan minat dan hobinya. Anak perempuannya dapat menggunakan bakatnya, dan ia mungkin menjadi kerjaya pada masa depan. Seorang lagi rakan saya mempunyai seorang anak perempuan yang berminat dalam kesihatan dan pemakanan. Walaupun baru berusia 13 tahun, dia sudah menjadi sukarelawan di hospital. Ini bukan sahaja meningkatkan keyakinannya, tetapi juga menambah minatnya dalam kursus yang berkaitan. Ibu bapa, cungkil minat dan bakat anak anda, dan berikan mereka dorongan dan bantuan. Dengan ini, mereka akan mengekalkan semangat yang tinggi untuk terus belajar dan berkembang.

Sumber artikel:Majalah Focus on the Family Malaysia

About the author