Menyewakan Akaun Bank adalah Merugikan 

Membuat Wang Mudah Sebagai “Keldai Wang” Akan Didakwa

(Petaling Jaya, 5 Okt) Adakah anda percaya dengan menyewakan akaun bank dan kad ATM anda akan mendapat ganjaran lumayan? Jangan sesekali menjadi “keldai wang” kepada sindiket penipuan demi memperoleh wang mudah!

Menurut laman web semakan fakta Sebenarnya.my dan laporan Harian Metropolitan, penipu mengiklankan di TikTok dan WhatsApp dan menawarkan antara RM3,000 hingga RM7,000 sebulan untuk menyewa akaun bank dan kad ATM.

Seorang mangsa menceritakan bahawa dia telah dihubungi oleh pihak polis atas dakwaan terlibat dalam aktiviti penipuan dua minggu selepas menyewakan akaun bank dan kad ATMnya. Akhirnya, dia ditahan dan didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan (pemindahan atau penyembunyian harta dengan tidak jujur) serta dikenakan denda sebanyak RM4,000.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusoff, menyatakan bahawa akaun bank adalah perkara yang sangat peribadi dan tidak sepatutnya disewakan kepada sesiapa pun atas apa jua alasan.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mengendahkan iklan-iklan tersebut supaya akaun bank mereka tidak disalahgunakan sebagai alat jenayah.

Sumber artikel:Harian Sin Chew,06.10.2022

About the author