
Di Sekolah Menengah Guangqumen di Beijing, terdapat satu kelas yang bernama Hongzhi. Ia merupakan kelas pertama yang ditubuhkan di Beijing untuk pelajar dari keluarga miskin. Anak-anak dalam kelas Hongzhi sangat bersemangat dan menghargai peluang belajar yang sukar diperoleh ini. Mereka berusaha dengan sangat gigih. Mereka sangat matang dan tidak mengeluh tentang kemiskinan keluarga. Mereka ceria dan mempunyai sikap yang positif seperti matahari.
Ketika kelas Hongzhi genap sepuluh tahun, stesen televisyen mengadakan satu program dan mengundang bekas pelajar untuk menyertai. Program ini diberi nama “Rasa Matahari”. Guru besar kelas Hongzhi yang pertama turut hadir, dan semua orang memanggilnya Ibu Hongzhi. Ibu Hongzhi menceritakan satu kisah:
Ibu kepada seorang budak lelaki adalah seorang yang kurang upaya. Dia bekerja sebagai pekerja sambilan di Stesen Kereta Api Beijing, dengan gaji lima yuan sehari. Ayah budak lelaki itu merupakan seorang yang kurang upaya juga. Salah satu belah kakinya lebih pendek berbanding kaki sebelah. Ayahnya mengumpul barangan terpakai dan mengangkutnya ke stesen pengumpulan barang terpakai yang jauh. Untuk mendapatkan lebih banyak wang, budak lelaki itu akan mengasingkan barangan terpakai yang dibawa oleh ayahnya setiap hari Sabtu. Kemudian dia akan mengayuh basikal tiga rodanya ke stesen pengumpulan barang terpakai. Budak lelaki itu belajar dengan tekun selama tiga tahun di sekolah menengah. Dia tidak pernah membiarkan keletihan mengganggu pelajarannya, dan akhirnya dia berjaya memasuki Universiti Beijing dengan keputusan yang cemerlang!
Pada hari perjumpaan itu, budak lelaki itu juga hadir. Kini, dia adalah seorang pengurus di Jabatan Kewangan Antarabangsa, Bank Rakyat China. Dia memandu kereta dan membawa teman wanitanya ke majlis kelas Hongzhi. Budak lelaki itu memberitahu gurunya bahawa dia telah membawa ibu bapanya tinggal di sebuah rumah yang luas.
Budak lelaki itu tidak merasa rendah diri kerana dilahirkan dalam keluarga seperti itu dan dia tidak tertekan oleh kehidupan yang sukar. Dia dengan berani menerima semua takdir dan cabaran hidup. Dia berusaha bersungguh-sungguh untuk mengubah hidupnya serta mengubah kehidupan ahli keluarganya.
Refleksi:
Kehidupan manusia adalah dipenuhi dengan cabaran. Kita akan menjadi kaya jika kita mengatasi cabaran itu. Sebaliknya, ia akan menjadi bayangan yang akan menghantui kita selamanya jika kita menyerah kepada cabaran hidup. Bukankah pengalaman budak lelaki itu juga merupakan satu transformasi kehidupan?
Sumber artikel:张婧《心灵盛宴:只需改变自己一点点》,朝华出版社