Apabila seorang bayi dilahirkan, adakah dia sudah memiliki keperibadian yang berbeza secara semula jadi? Atau dia hanya seperti sekeping kertas putih? Pada masa yang lalu, ramai pakar tingkah laku percaya bahawa keperibadian seorang kanak-kanak adalah dibentuk dan dipengaruhi oleh ibu bapa dan persekitaran sekelilingnya. Namun, pada masa kini, ramai ibu bapa sukar menerima pandangan para pakar ini. Ibu-ibu yang mempunyai lebih daripada dua orang anak akan mendapati bahawa setiap bayi mempunyai keperibadian yang berbeza.
Kini, semakin banyak pakar yang mengkaji perkembangan kanak-kanak bersetuju dengan pandangan ibu-ibu ini. Terdapat satu kajian penting yang dengan jelas menunjukkan bahawa seorang bayi yang baru lahir mempunyai sekurang-kurangnya sembilan perbezaan dalam keperibadian, termasuk perbezaan dalam reaksi emosi, tahap keaktifan, dan sensitiviti terhadap perkara-perkara tertentu. Kajian ini mendapati bahawa perbezaan yang dilihat sejak zaman bayi, sering berlanjutan sepanjang hidup mereka. Sudah tentu, kajian ini hanya satu permulaan. Jika kita memerhati dengan teliti, kita akan mendapati bahawa sejak lahir, setiap bayi, sudah mempunyai banyak perbezaan. Namun, kita masih percaya bahawa “bayi hanyalah seperti sekeping kertas putih!” Jika setiap kepingan salji mempunyai bentuknya yang unik, adakah kita masih percaya bahawa setiap anak yang dilahirkan adalah sama, seolah-olah mereka dihasilkan dari kilang yang sama? Saya rasa ini tidak masuk akal. Sudah tentu, tidak dapat dinafikan bahawa persekitaran dan pengalaman hidup mempengaruhi keperibadian kita. Tetapi kita mesti mengakui bahawa sejak di kandungan ibu, kita sudah mempunyai keperibadian yang unik dan istimewa.
Sumber artikel : 爱家杂志