Tangan Kanan Adalah 4% Lebih Besar daripada Tangan Kiri 

Semasa di sekolah rendah, para guru suka memberi amaran dengan berkata, “Satu titik perpuluhan yang tersalah letak akan mengakibatkan satelit tidak dapat dilancarkan,” untuk mengingatkan pelajar supaya berhati-hati, lebih teliti, dan lebih cermat. Ini terutamanya semasa pelajar menghadapi peperiksaan. Amaran ini kemudiannya menjadi pepatah popular dalam kalangan pelajar ketika mereka bergurau senda.

Suatu hari di dalam kelas seni, guru seni mendengar pelajar berkata begitu dan menggelengkan kepalanya dengan rasa kecewa. Dia berkata, “Kamu semua tidak memahami makna satelit dan titik perpuluhan, dan mengabaikan satu hakikat yang sangat serius.” Pada hari itu, kebetulan pelajar belajar melukis tangan manusia. Guru berkata, “Tangan kita nampaknya tidak rumit, tetapi saya akan ceritakan satu kisah. Selepas itu mungkin kamu semua akan belajar melukis dengan lebih serius.”

“Di Jerman, terdapat sebuah kilang pakaian yang menghasilkan banyak sarung tangan setiap tahun. Sarung tangan ini dijual di bandar-bandar berdekatan dan jualannya sentiasa stabil. Suatu tahun, mereka mendapati sebuah kilang kecil baru dibuka tidak jauh dari situ. Ia juga khusus menghasilkan sarung tangan. Disebabkan jumlah perniagaan kilang kecil itu tidak besar, mereka tidak terlalu ambil peduli tentangnya. Namun, setahun kemudian, mereka mendapati bahawa sarung tangan mereka semakin kurang laku di pasaran. Manakala sarung tangan yang dihasilkan oleh kilang kecil itu sudah menguasai hampir 80% pasaran.”

Guru bertanya, “Cuba kamu teka mengapa ini berlaku?” Para pelajar memberikan pelbagai jawapan. Guru mengesahkan sebahagian daripada jawapan yang diberikan tetapi terus menggalakkan pelajar untuk terus meneka. Selepas 10 minit, bilik darjah menjadi senyap. Guru tersenyum misteri dan berkata, “Satu nombor kecil yang menentukan sama ada sarung tangan lebih digemari atau tidak.”

Rupa-rupanya, sarung tangan yang dihasilkan oleh kilang kecil itu, walaupun sepasang, saiznya tidak sama: ini adalah kerana kebanyakan orang adalah pengguna tangan kanan. Kebiasaanya, tangan kanan adalah 4% lebih besar daripada tangan kiri. Jadi, sarung tangan dengan saiz yang berbeza ini terasa lebih sesuai dipakai!

“Perbezaan 4% ini telah membolehkan kilang kecil itu memperolehi 80% pasaran sarung tangan, bukankah itu menarik?”

Guru seni dengan bangga berkata, “Saya tahu mungkin adalah susah untuk kamu fahami satelit yang terlalu jauh, tetapi kamu pasti pernah melihat sarung tangan! Sila ingat, jangan sesekali memandang rendah perkara-perkara kecil yang kelihatan remeh, kerana kadang-kadang perkara kecil itulah yang menentukan kejayaan atau kegagalan!”

Sumber: 张婧《心灵盛宴:只需改变自己一点点》,朝华出版社

About the author